Sepakat tiga perkara: Islam, Melayu dan Institusi Raja

Berita — By on 14 February 2012 12:15 am

BANGI, 2 Feb. – Orang Melayu dari mana-mana aliran politik perlu sepakat dalam tiga perkara asas yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Institusi Raja, tegas Encik Abdul Rahman Mat Dali.

Menurut Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu, tidak perlu ada pertikaian dari mana-mana pihak berhubung tiga perkara asas yang perlu dipelihara itu.

“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah permusuhan politik yang sangat merugikan, akibatnya menang jadi arang, kalah jadi abu.

“Seharusnya tidak begitu, macam mana sekalipun kita mesti jaga dan sepakat perkara-perkara yang penting,” ujarnya.

Namun beliau berkata, ini tidak bermaksud untuk menyatukan mana-mana parti politik menjadi satu badan kerana pada dasarnya perkara tersebut adalah sesuatu yang sukar.

“Maksud yang ingin dibawa oleh ISMA ialah kesepakatan dalam perkara-perkara asas tadi, seperti isu agama Islam yang mesti kita pertahankan jika diusik.

“Ini terjadi pada kaum-kaum lain, walaupun dalam parti politik yang berbeza tetapi bab sekolah mereka, budaya mereka, kita tak boleh sentuh kerana mereka sepakat,” jelasnya lagi ketika ditemubual oleh wartawan Media ISMA di sini.

Justeru itu, Abdul Rahman menyeru kepada semua parti politik Melayu Islam agar bersepakat di dalam perkara-perkara asas dan bersaing secara sihat dalam memberi khidmat yang terbaik untuk masyarakat.

“Lebih penting lagi kita perlu menobatkan taraf umat Islam, seperti mana agenda ISMA untuk melonjakkan dan mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah berlaku dahulu,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kaum-kaum lain tidak perlu tergugat kerana apabila Islam maju, bangsa lain akan mendapat rahmat seperti yang pernah terbukti di dalam sejarah.

1 Comment

  1. Jubah Moden says:

    Mmm … banyak sgt bahan dalam net sekarang… banyak yg merapu dari fakta…
    terus terang saya kata… tulisan awak memang best…
    sesuatu yg dari hati akan sampai gak ke hati..

Leave a Comment