Sekitar KLIKK3 Di Taman Samudera, Batu Caves

, ,

Oleh: Azizi Istakal

GOMBAK, 11 NOVEMBER – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Gombak sekali lagi dengan jayanya telah menganjurkan Karnival Sukan, Kesihatan dan Keluarga (KLIKK) kali yang ketiga bertempat di Surau Al-Ikhwan, Taman Samudera, Gombak.

Karnival ini telah diadakan dengan usahasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Gombak, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak, Nadi Al’Azim (NAZIM) Gombak, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Gombak, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Gombak, Aman Palestin Berhad dan juga Jawatan Kuasa Surau Al-Ikhwan Taman Samudera Gombak.

Bermula pada hari Sabtu, 7 November hingga hari Ahad 8 November, karnival ini diadakan dengan objektif sebagai wadah pendidikan kesihatan untuk seluruh masyarakat muslim, khususnya yang berada di sekitar kawasan Gombak. Dengan penganjuran karnival seperti ini, ISMA Gombak bertujuan menggunakan serampang dua mata untuk mendekati masyarakat setempat selain membina satu medium khususnya untuk penduduk Islam di sekitar Gombak berkumpul dan membina hubungan silaturrahim sesama mereka.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah kejohanan Street Soccer, ceramah “Krisis Supermama”, forum keibubapaan “Kasihi Daku Ku Percaya Kamu”, forum “Muda Tapi Kaya”, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan hafazan, konsert Malam Inspirasi Palestin, larian marathon “Run 4 Palestine”, permainan ilmu dan juga demo masakan.

Tidak ketinggalan juga, karnival ini turut menyediakan ‘Bouncing Castle’, booth memanah, booth pameran, booth derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, permainan sukan rakyat, ‘Pony Riding’ dan juga ‘Petting Zoo’ sebagai tarikan pengunjung ke karnival ini. Bagi menambah lagi kemeriahan, tapak-tapak khemah telah dibuka khusus untuk para peniaga makanan, minuman dan juga barangan pakaian.

Majlis perasmian pembukaan telah diadakan dengan menjemput Tan Sri Dato’ Paduka Raja, Dato’ Haji Wan Mahmood Bin Paawan Teh merangkap Orang Kaya Gombak sebagai perasmi majlis. Antara jemputan kehormat yang lain adalah Tuan Haji Aminuddin bin Yahya (Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia), Dato Haji Yunus bin Tahir (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Gombak Fasa 6), Ust Haji Mohd Muzammir bin Haji Bakri (Pengerusi Surau Al-Ikhwan), Tuan Haji Zuraidi bin Zakaria (Yang Dipertua ISMA Gombak) dan juga Tuan Haji Abdul Samad Bin Ashaari (Naib Yang Dipertua ISMA Gombak.

Antara tarikan utama karnival ini, adalah Konsert Malam Inspirasi Palestin yang berlangsung pada hari Sabtu malam menampilkan kumpulan nasyid terkenal tanah air, iaitu Kumpulan Rabbani. Bertemakan “Keluarga Gaza, Keluarga Qudwah”, konsert ini diselang selikan dengan perkongsian khas daripada Ustaz Akib Abdullah merangkap Pengurus Besar Aman Palestin Damansara, selebriti rancangan televisyen Farah Adeeba yang juga sebagai Duta Aman Palestin Berhad; dan Ustaz Adnin Roslan merangkap ikon Tarbiah Sentap. Selain itu, acara larian “Run 4 Palestine” juga terpilih sebagai acara utama karnival, dimana seramai 200 orang peserta telah menyertai acara larian pada hari Ahad pagi. Larian ini bermula di hadapan Surau Al-Ikhwan, mengelilingi kawasan sekitar Gombak sejauh 7 kilomoter dan berakhir di tempat permulaan larian. Manakala, dua buah kategori telah dipertandingkan iaitu acara terbuka lelaki dan acara terbuka wanita.

Pada hari terakhir karnival, Adun Gombak Setia iaitu Ustaz Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan telah dijemput untuk merasmikan Majlis Perasmian Penutup dan sekaligus melancarkan Pemuda ISMA Cawangan Gombak.

Keseluruhan karnival berjalan lancar dengan kehadiran pengunjung yang dianggarkan berjumlah seramai 2,000 orang, meskipun keadaan cuaca yang berselang seli dengan hujan di sebelah petang sepanjang dua hari karnival berlangsung.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *