Ramadhan 1432H

An-Naseehah Ramadhan 1432H

Ingatan tulus ikhlas daripada

ISMA Cawangan Gombak


 

 

Ramadan 1

 

Diriwayatkan oleh al-Miqdam bin Ma’dikarib al-Kindi katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: “Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat mengangkat tulang belakangnya. Sekiranya perlu maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya”. Riwayat at-Tirmizi.

Ramadan 2

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa; Puasa itu adalah untukku dan aku akan memberinya pahala. Puasa itu ialah perisai. Apabila kamu puasa janganlah kamu merosakkan puasamu itu dengan menyentuh isteri (senggama), dan jangan menghina orang. Apabila kamu yang dihina atau dipukul orang, maka katakanlah: “Aku puasa.” Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi. Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya.”

-Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1117.

Ramadan 3

Hidup berakhir,

dengan mati.

Panjang, pendek,

kesudahannya sama!

– puisi oleh seorang sasterawan Arab –

-Petikan dari buku ‘Detik-detik masa dalam kehidupan Muslim’ oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

 

Ramadan 4 

“Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat

adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya,

nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia”

– oleh Imam Shafie –

-Petikan dari buku ‘30 Wasiat Imam Shafie’ oleh Khairul Ghazali”

Ramadan 5

“Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar
di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula.
Adapun bala dan musibah, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah.
Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”

– oleh Imam Shafie  

-Petikan dari buku ‘30 Wasiat Imam Shafie’ oleh Khairul Ghazali 

Ramadan 6

Adab Mendengar

Ibnu al-Jauzi meriwayatkan daripada Khalid bin Safwan katanya: “Sekiranya kamu melihat seorang yang berucap dengan sesuatu yang kamu tahu atau menceritakan berita yang kamu telah tahu, maka janganlah kamu menyampuknya dengan harapan supaya orang yang hadir mengetahui bahawa kamu juga telah mengetahuinya, kerana itu menunjukkan kekurangan dan buruknya adabmu.”

Atho’ bin Rabah berkata: “Sesungguhnya seorang pemuda menceritakan kepadaku satu hadis, lalu aku mendengar seolah-olah aku belum pernah mendengarnya. Sebenarnya aku telah mendengarnya sebelum dia dilahirkan.”

-Petikan dari buku ‘Adab-adab Usrah Ikhwan Muslimin’.

Ramadan 7

Kerja hari ini jangan dilewati;
Kerana malas menyusuk diri;
Di hari besok kau belum pasti;
Mungkin lemah datang lagi.

Selesaikan kerja hari ini;
Jangan ditangguh sampai ke pagi;
Siapa jamin di besok hari;
Malang tak berbau datang dekati?

– oleh seorang penyair  

-Petikan dari buku ‘Detik-detik masa dalam kehidupan seorang Muslim’ oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

Ramadan 8

Abdul Rahman bin’Auf berkata :
Apabila kami diuji dengan kesusahan, kami dapat bersabar,
tetapi apabila diuji dengan kesenangan kami tidak mampu bersabar menghadapinya.

Kerana itulah Allah Taala menyatakan:
“Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan
anak-pinak kamu daripada mengingati Allah
dengan menjalankan perintahNya)”

(Al-Munafiqun : 9)

-Petikan dari buku ‘Jalan mereka yang menuju Allah, Jilid 2’ oleh Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi

Ramadan 9 

Ya, kita bukan mengejar masa.
Masa yang bertahun-tahun, puluhan tahun, ratusan tahun,
bukan perkara penting bagi umur dakwah dan umat.
Tetapi yang penting ialah kita mesti bertahan
di atas jalan kita dengan penuh keyakinan,
kesejahteraan langkah dan kejelasan pemikiran. 

-Petikan dari buku ‘Hari-hari dalam hidupku’ oleh Zainab al-Ghazali al-Jubaili

Ramadan 10

Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah
engkau mengira keburukan orang lain sedangkan
keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri

– oleh Imam Shafie –

-Petikan dari buku ‘30 Wasiat Imam Shafie’ oleh Khairul Ghazali

Ramadan 11

Setengah ulama mengatakan,
“Orang yang paling dekat pada Allah adalah
dia yang paling rela terhadap apa yang telah diberikan Allah kepadanya.”
Bahkan ada kalam hukama berbunyi,
“Boleh jadi sihat itu adalah penyakit sedangkan sakit adalah ubat.”

Kalam itu sama dengan bunyi syair :

Betapa banyak nikmat menjadi musibah bagimu.
Dan kemudahan mengundang bahaya untukmu.
Bersabarlah selalu atas segala yang menimpamu.
Sungguh setiap perkara ada akibat.
Setiap kesulitan ada jalan keluar.
Di setiap kejernihan ada juga kekeruhan.

“…boleh jadi kamu benci terhadap sesuatu sedangkan ia lebih baik bagi kamu…”

(Al-Baqarah : 216) 

-Petikan dari buku ‘Penenang jiwa : pengubatan dan rawatan’ oleh Imam Al-Ghazali 

Ramadan 12

Semasa Peperangan Hunain

“Wahai kaum Ansor,
adakah diri kamu merasa tidak puas hati
terhadap sisa-sisa dunia yang aku gunakan
untuk menarik minat kaum tersebut (pemuka-pemuka Arab & Quraisy) agar memeluk Islam.
Sedangkan aku serahkan kamu kepada keislaman kamu.

Wahai kaum Ansor,
tidakkah kamu redha orang ramai kembali bersama kambing dan unta,
sedangkan kamu pulang kepada tunganggan kamu bersama Rasulullah?

Demi Tuhan yang jiwa Muhammad dalam genggamanNya,
jika bukan kerana Hijrah, nescaya aku seorang Ansor.
Sekiranya orang ramai melalui satu lorong di bukit,
sedangkan Ansor melalui lorong yang lain,
nescaya aku melalui lorong yang dilalui Ansor.

Ya Allah, rahmatilah Ansor, anak-anak dan cucu-cucu Ansor”

-Petikan dari buku ‘Sirah Nabi Muhammad saw: pengajaran & pedoman’ oleh Dr. Mustafa as-Syibaie

Ramadan 13

Sebesar-besar keaiban (keburukan)
adalah engkau mengira keburukan orang lain
sedangkan keburukan itu
terdapat dalam dirimu sendiri

-Imam Shafie

Ramadan 14

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan,
maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

-Hadith Riwayat Muslim

Ramadan 15 

al-‘Allamah Ibnul Qaiyim menyatakan terdapat enam tahap usaha syaitan untuk menyesatkan anak Adam.
Tahap pertama ialah kekufuran dan syirik. Ini merupakan tahap tertinggi yang dicita-citakan oleh syaitan.
Tahap kedua ialah bid’ah yang sesat.
Tahap ketiga ialah dosa-dosa besar.
Tahap keempat ialah dosa-dosa kecil yang berterusan dilakukan.
Tahap kelima ialah leka dalam perkara-perkara harus sehingga lalai daripada menunaikan kewajiban.Tahap keenam ialah seperti katanya :
“Tahap keenam ialah syaitan akan menyibukkan anak Adam dengan perkara-perkara yang mafdhul (kurang utama) berbanding perkara-perkara yang afdhal (lebih utama).”

– petikan daripada buku “Prinsip hidup Muslim sejati” oleh Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

Ramadan 16

Kesempatan masa hendaklah digunakan dengan betul.
Nabi saw sangat-sangat menyuruh kita supaya mengisi ruangan kekosongan yang ada dengan
sepenuh-penuhnya. Keterangan ini terdapat di dalam sepotong hadith yang bermaksud
“Jikapun berlaku qiamat, di tangan kamu di masa itu ada sepohon benih kurma, maka kamu masih lagi berkesempatan untuk menanamnya, maka hendaklah kamu menanamkannya.”
Kenapakah Rasulullah menyuruh yang empunya benih kurma supaya menanam pohon kurma selagi dia berkemampuan berbuat demikian. Sedangkan dia tahu bahawa pohon yang ditanamnya hari ini
tidak mungkin akan berbuah di siang hari besok hingga dia dapat memetik hasilnya?
Semaian yang ditanam bukankah hasilnya boleh dinikmati oleh generasi selepasnya?
Umpamanya, satu persoalan telah diacukan kepada seorang tua yang sedang menanam sepohon zaitun :
“Kenapakah kamu menanam pohon itu, sedangkan umur kamu sudah hampir ke pintu kubur!?”
Jawabnya: “Generasi dahulu menanam pohon untuk kita makan hasilnya.
Kita tanam sekarang untuk generasi selepas kita.”

-Petikan dari buku ‘Detik-detik masa dalam kehidupan Muslim’ oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi

Ramadan 17

Dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya :
“Berta’ahudlah kepada al-Quran – yakni peliharalah untuk selalu membaca al-Quran itu secara tetap waktunya,
sebab demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya
nescayalah al-Quran itu lebih sangat mudah terlepasnya daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya.”

(Muttafaq ‘alaih’)

-Petikan dari buku ‘Riyadhus Salihin’ oleh Imam Nawawi

Ramadan 18

Kami ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini

Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kami
Wajib pula kami menunjukkan jalan kepada generasi depan

-Nasyid di petik dari buku ‘Langkah bermula ’ oleh Muhammad Ahmad ar-Rashid

Ramadan 19

Imam Hassan al-Banna menyatakan :

“Islam menghendaki dari setiap anggota jemaah
mempunyai perasaan yang peka,
yang dapat mengecapi keelokan dan keburukan
dan tanggapan yang tepat dalam menggambarkan yang betul dan yang salah,
kemahuan yang tegas,
tidak lemah dan lesu di hadapan kebenaran,
badan yang sihat akan melaksanakan 
tuntutan kewajipan-kewajipan kemanusiaan dengan sebaik-baiknya
dan menjadi anggota yang baik untuk menghasilkan kemahuan yang baik
serta membantu kebenaran dan kebaikan “

– Petikan dari buku ‘Jalan Da’awah : antara qiyadah dan jundiyyah ’ oleh Mustafa Masyur

Ramadan 20

Imam al-Ghazali berkata dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin:

“Akhlak ialah satu keadaan jiwa yang sudah mantap,

yang menerbitkan tindakan-tindakan dengan mudah dan senang,

tanpa perlu berfikir dan berkira.

Jika tindakan-tindakan itu terpuji di sisi syarak dan akal,

maka keadaan jiwa yang menerbitkan tindakan itu dipanggil akhlak yang baik.

Jika tindakan-tindakan yang lahir itu buruk,

maka keadaan jiwa yang melahirkannya dinamakan akhlak yang buruk.”

Berdasarkan definisi akhlak yang diberikan di atas,

nyata sekali bahawa tindakan-tindakan zahir yang

disifatkan sebagai baik dan buruk adalah berpunca

daripada jiwa yang melahirkan tindakan itu secara spontan.

Oleh sebab itu, sebagai seorang muslim, kita mesti

memberi perhatian kepada penyuburan iman di hati,

kerana ia menjadi asas kepada ketenangan dan

kesejahteraan jiwa yang akan melahirkan tindakan

dan sikap terpuji. Akhlak adalah kekuatan.

Manusia yang berakhlak mulia adalah orang yang menguasai suasana.

– Petikan dari buku ‘Peranan Hidup Muslim Sejati’ oleh Mohd Hazizi Ab Rahman

Ramadan 21

 

Ramadan 22

 

Zu al-Nun telah ditanya: “Dengan apakah seseorang hamba itu dapat masuk syurga? 
Jawabnya : Dengan lima perkara iaitu :

1. Istiqamah tanpa ada penyelewengan
2. Kesungguhan tanpa ada kelalaian
3. Bermuraqabah kepada Allah pada masa keseorangan dan di khalayak ramai
4. Menunggu mati dengan persediaan
5. Menghitung dirimu sebelum diperhitungkan

-Petikan dari buku  “Kemanisan Iman ” oleh Dr. Yusof al-Qaradhawi

Ramadan 23

Suatu hari Salahuddin al-Ayyubi berkata kepada anaknya yang bernama Al-Malik Al-Zahir:

” Ayahanda suka berpesan kepada anakanda supaya bertaqwa kepada Allah,
kerana ia adalah sumber segala kebaikan.

Ayahanda suka berpesan kepada anakanda supaya melaksanakan 
apa yang diperintahkan oleh Allah kerana ia adalah punca keselamatan anakanda.

Awaslah diri anakanda dari terlibat dalam persoalan darah manusia yang tidak berdosa
dan campurtangan tentangnya kerana darah itu tidak tidur.

Ayahanda suka berpesan kepada anakanda supaya sentiasa jaga hati rakyat jelata dan
menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka.

Anakanda adalah pemegang amanah ayahanda dan
pemegang amanah Allah terhadap rakyat jelata. “

-Petikan dari buku  “Pembaharuan Salahuddin al-Ayyubi ” oleh Abdullah Nasih Ulwan

Ramadan 24

“Hendaklah kamu terima agama ini dengan merasakan
 segala tanggungjawab dan bebanan berat yang ada bersamanya.

Hendaklah kamu tunaikan segala haknya dengan sempurna dengan memahami 
segala sasaran dan objektif agungnya hingga kamu mampu menampilkan 
kepada seluruh manusia akan kebaikan dan keindahan agama ini, 
kamu tonjolkan kepada mereka keberkatan dan keistimewaannya. 

Hendaklah kamu bersihkan fikiran kamu, 
akhlak kamu dan amalan kamu daripada segala yang tidak bertepatan 
dengan nilai dan elemen agama ini sehingga seluruh cara hidup kamu 
menjadi contoh kepada kemuliaan dan keindahan Islam.”

-Petikan dari buku  “Pengakuan seorang Muslim ” oleh Abul A’la Al-Maududi

Ramadan 25

Beberapa syair karya Mus’ar bin Kaddam sering diperdengarkan oleh Umar bin Abdul Aziz:

“Wahai orang-orang yang tertipu oleh dunia!

Siang kau tidur dan malas.

Malam pun kau tidur dan hina.

Kau tertipu oleh sesuatu yang fana.

Kau bahagia dalam khayalan.

Persis orang tidur yang tertipu dengan kelazatan.

Akhir kesibukanmu hanyalah kebosanan.

Demikianlah kehidupan haiwan-haiwan.”

– Petikan dari buku ‘”Penenang jiwa : pengubatan dan rawatan ” oleh Imam al-Ghazali

Ramadan 26

Dikatakan, Imam Bukhari sering sekali mengutarakan dua bait syair ini :

Raihlah dalam kelonggaranmu keutamaan ruku’
Sesungguhnya maut itu tiba-tiba saja.

Betapa banyak engkau lihat orang sihat.
Tanpa diduga jiwa melayang juga.

-Petikan dari buku ‘Penenang jiwa : pengubatan dan rawatan ’ oleh Imam al-Ghazali

Ramadan 27

Sebelum beliau syahid, ini adalah pesanan As-Syahid Syed Qutb:

Saudara!

Seandainya kau tangisi kematianku dan kau siram pusaraku dengan air matamu

maka diatas tulangku yang hancur luluh nyalakanlah obor buat umat mulia ini

dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Saudara!

Kematianku adalah suatu perjalanan mendapatkan KEKASIH

yang sedang merindu taman-taman di syurga

TUHAN-ku bangga menerimaku

burung-burungnya berkicau riang menyambutku

bahagialah hidupku dialam abadi

Saudara!

Puaka kegelapan pasti akan hancur dan alam ini akan disinar fajar lagi

biarlah rohku terbang mendapatkan rindu-NYA

janganlah gentar berkelana di alam abadi nun di sana fajar sedang memancar

*pesanan akhir ini di tulis beliau beberapa ketika sebelum beliau menemui syahid pada hari Isnin 13 Jamadil Awal 1386 bersamaan 29 Ogos 1966

Ramadan 28

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.”

-Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Ramadan 29

Allah swt mempunyai dua hak terhadap kita.
Pertama, hak untuk ditaati segala perintahNya.
Kedua, hak untuk disyukuri segala nikmatNya.
Setiap nikmat yang dikurniakan Allah swt kepada hambaNya mempunyai harga.
Kerana itu, sudah menjadi hak-Nya untuk disyukuri segala nikmatNya.
Sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya, yang bermaksud :

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, 
dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, 
agar kamu bersyukur .”

(al-Nahl : 78)

-Petikan dari buku ‘Peranan dan kekuatan Al-Quran dalam memantapkan keimanan’ oleh Majdi al-Hilali