“Pastikan anak-anak berakhlak dengan akhlak al-Quran”

, ,

Oleh Dr Farah Ghazali

SETAPAK, 21 Jan – “Walaupun anak-anak tidak dapat menghafal Al-Quran, ibu bapa perlu memastikan setiap anak-anak berakhlak dengan akhlak al-Quran,” ujar Puan Hajah Siti Nadzrah Sheh Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Umi Profazz.

Beliau berkongsi pengalaman dan tips bagaimana berjaya mendidik anak-anaknya yang terlibat dalam bidang professional dan pada masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran.

Perkongsian beliau bersama dua lagi anaknya iaitu Suhayl Salmi dan Dr Irfan Salmi dalam Program Bual Bicara Profazz anjuran Surau Al-Amin Taman Setapak Indah dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Gombak dan Biro Wanita ISMA Gombak berjaya membuka mata para ibu bapa akan peri pentingnya penekanan mengenai pemahaman Al-Quran dalam pendidikan anak-anak.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh salah seorang hadirin mengenai perisai diri bagi anak-anak di sebalik ledakan teknologi terkini, Dr Irfan Salmi menegaskan tentang pentingnya setiap ibu bapa mencuri sedikit masa di sebalik kesibukan kerjaya bagi mengikuti perkembangan anak-anak di rumah.

“Gadjet merupakan teknologi yang tidak dapat dihalang dan telah menyerap ke dalam setiap lapisan usia masyarakat. Perisai utama bagi anak-anak adalah melalui ‘bonding time’ antara ibu bapa dan anak-anak. Melalui hubungan yang rapat ini, ibu bapa dapat mengikuti dengan lebih dekat perkembangan anak-anak di samping dapat mengawal penggunaan gadjet oleh anak-anak,” ujar Dr Irfan Salmi.

Melalui program bual bicara ini, dapat disimpulkan mengenai pentingnya segenap kehidupan kita berada dalam radar Al-Quran. Al-Quran bukan sekadar bacaan di mulut tetapi isi kandungannya perlulah diamalkan dalam kehidupan harian. Selain itu, penekanan persekitaran yang baik (biah solehah) juga perlu dititik beratkan dalam pembesaran anak-anak agar mereka tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar.

Usaha ahli jawatankuasa Surau Al-Amin yang menganjurkan program seperti ini harus dipuji sebagai salah satu langkah dalam melahirkan ibu bapa dan masyarakat yang cakna dengan pembentukan anak-anak selari dengan landasan Al-Quran dan penekanan mengenai keperluan anak-anak menjadi huffaz Al-Quran.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *