KRIM Gombak anjur Seminar Pendidikan Kerjaya Daerah Gombak 2010

Remaja — By on 19 April 2010 12:05 am

Gombak, 10 April 2010- Sekali lagi Kelab Remaja ISMA cawangan Gombak melakar sejarah dalam memperkasakan agenda dan halatuju Remaja apabila dengan jayanya menganjurkan Seminar Pendidikan Kerjaya peringkat daerah Gombak 2010. Program yang dianjurkan dengan usahasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak ini telah diadakan di Dewan Seri Tanjung, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak yang merupakan antara sekolah yang terbaik di negara ini.

Lebih kurang 350 orang pelajar dari sekolah-sekolah menengah di sekitar daerah Gombak menyertai Seminar Kerjaya kali ini

Dengan objektif untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pentingnya kesedaran memilih kursus pengajian dan kerjaya yang betul, program ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 350 pelajar cemerlang tingkatan 4 dan 5 daripada 18 buah sekolah dari seluruh daerah Gombak.

Saudara Mohd Hafizan, Pengarah KRIM Gombak

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Mohd Hafizan Abdul Wahab, Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak selaku penganjur utama seminar yang antara lain menegaskan KRIM akan sentiasa mengambil inisiatif untuk memainkan peranan penting di tengah-tengah masyarakat kea rah melahirkan generasi remaja yang beriltizam dan mampu membuat perubahan kendiri yang positif.  Majlis ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh En Abdul Aziz B Ismail, Pegawai Kaunseling dan Hal Ehwal Murid, PPD Gombak. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengalu-alukan dan akan sentiasa memberi sokongan ke atas usaha-usaha NGO seperti KRIM dalam menyumbang ke arah kecemerlangan para pelajar. Beliau turut mengingatkan para pelajar agar mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin informasi yang berguna demi membantu memilih kerjaya yang betul di masa hadapan.

Seminar dirasmikan oleh En. Abdul Aziz Ismail, , Pegawai Kaunseling dan Hal Ehwal Murid, PPD Gombak

Turut hadir ke majlis perasmian ialah Encik Aminudin Yahya, Setiausaha Agung ISMA yang telah menyampaikan cenderamata tanda penghargaan kepada PPD Gombak dan tuan rumah SBPI Gombak. Majlis perasmian diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran Pendidikan tinggi yang telah disertai oleh beberapa IPTA dan IPTS terkemuka di tanah air di antaranya UKM, UPM, UNISEL, UNIKL,  Murni Nursing College, MAHSA College dan beberapa lagi.

Para peserta membanjiri kawasan pameran kerjaya

Majlis diteruskan dengan ucaptama seminar yang bertajuk ‘’Halatuju selepas SPM: Apa pilihan saya?’’ yang telah disampaikan dengan berkesan oleh Yang Berbahagia, Prof. Dr. Badhrulhisham B Abdul Aziz, Pengarah Pusat Pembangunan Kualiti dan Korporat, Universiti Malaysia Pahang, juga merupakan seorang tokoh cemerlang Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Pahang. Dalam ucaptamanya, beliau telah memperincikan elemen yang perlu ada pada setiap pelajar untuk bersaing dalam dunia yang berasaskan pengetahuan ataupun ‘ Knowledge-Based Era’. Beliau turut memberi penekanan kepada perlunya pelajar berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran bukan akademik (soft skills) dan rohani demi memastikan ‘kebolehpasaran’ berjaya dibentuk dalam diri masing-masing.

Persembahan oleh kumpulan Nasyid SBPI Gombak memukau para hadirin

Prof. Dr. Badhrulhisham menyampaikan ucaptama Seminar ‘’Halatuju selepas SPM: Apa pilihan saya?’’

Para pelajar yang rata-rata amat berminat terhadap penerangan yang diberikan telah mengajukan pelbagai soalan kepada penceramah demi memastikan mereka pulang tanpa sebarang kekusutan bermain di kepala. Majlis sebelum itu dihiburkan dengan persembahan mantap oleh Kumpulan Nasyid SBPI Gombak yang telah berjaya memukau para peserta yang hadir.

Pembentangan oleh En. Aznan Saad dari Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS amat mendapat perhatian para peserta

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran wakil daripada PETRONAS yang memberi taklimat mengenai peluang penajaan yang ditawarkan untuk para pelajar yang cemerlang. Slot yang dinanti-nantikan oleh semua peserta ini telah disampaikan dengan jayanya oleh Encik Aznan Saad, Pengurus Pembangunan Pelajar dari Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS. Beliau menegaskan persaingan  untuk merebut peluang penajaan pendidikan PETRONAS yang ditawarkan sangat sengit dimana faktor akademik semata – mata tidak lagi relevan dan kemahiran bukan akademik turut menjadi pra syarat. Beliau turut berkongsi pengalaman sepanjang 25 tahun berkhidmat di dalam PETRONAS. Para pelajar nyata begitu tekun mengikuti taklimat yang diberikan yang antara lain menjelaskan tentang syarat-syarat penajaan dan tips-tips menghadiri temuduga.

Saudara Wan Ibrahim berkongsi pengalaman hidup sebagai inspirasi kepada para peserta untuk berjaya sepertinya

Seterusnya, para pelajar dibawa menyelusuri pengalaman hidup seorang tokoh contoh, Wan Ibrahim, yang merupakan seorang ahli ISMA Daerah Hulu Langat menerusi Slot Inspirasi. Beliau merupakan calon penuntut PHD dalam bidang Teknologi Aeroangkasa di University of Manchester, United Kingdom yang sebelum ini mendapat Ijazah dan Sarjana Kelas Pertama di University of  Minnesota, USA dan University of Sydney, Australia. Graduan muda ini telah berjaya memukau hati pelajar dan menjadi sumber inspirasi untuk berjaya seperti beliau.

Seminar Kerjaya ini diakhiri dengan Slot Bengkel, di mana para peserta dibahagikan kepada lima bidang kerjaya kritikal seperti: Geosains, Kejuruteraan, Perubatan, Perakaunan dan Perguruan. Kesemua bidang kerjaya ini diwakili oleh tokoh-tokoh professional KRIM Gombak yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Agak mengejutkan apabila mendapati hampir separuh dari para peserta berminat untuk menjadi akauntan berbanding dengan kerjaya-kerjaya kritikal lain. Melalui slot bengkel ini, rata-rata para pelajar mendapat pelbagai perkongsian pengalaman kerjaya yang boleh membakar semangat mereka untuk terus berusaha menggapai cita-cita yang diimpikan.

Bengkel Kerjaya

Bengkel Kerjaya Perakaunan mendapat sambutan paling menggalakkan dari para peserta

Pihak KRIM Gombak mengucapkan jutaan terima kasih khusus kepada Pejabat Pelajaran Daerah Gombak di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Seminar Kerjaya ini. Terima kasih juga kepada tuan rumah, SPBI Gombak yang telah menyediakan fasiliti terbaik dan tenaga sokongan daripada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sekolah yang telah bertunkus lumus menjayakan program ini. Tidak lupa kepada sekolah-sekolah, IPTA dan IPTS yang mengambil bahagian.

Tahniah KRIM Gombak!

Tenaga kerja dari KRIM Gombak bersama-sama dengan Cikgu Fuad, Guru Kaunseling SBPI Gombak dan para pelajar yang terlibat dengan penganjuran Seminar Kerjaya kali ni

3 Comments

  1. ummu aliyya says:

    mantap. tahniah KRIM Gombak!

  2. ckg zul says:

    Salam… ziarah. Taniah.

Leave a Comment