Kedamaian dalam Ketaatan

,

10 Zulhijjah 1436H, bersamaan 24 September 2015M
Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,

Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha.

Bersempena Hari Raya Korban ini marilah kita merenung dan mencari makna sebenar sebuah pengorbanan. Dan pengorbanan ini memerlukan ketaatan. Alangkah indah sekiranya kita menemui ketenangan dan kedamaian dalam kita melaksanakan ketaatan kita terhadap segala titah perintah Allah S.W.T.

Mengimbas kembali kisah perjuangan Nabi Ibrahim A.S yang menghabiskan seluruh usianya untuk menegakkan risalah kebenaran dan diuji dengan oleh Allah untuk mengorbankan anaknya Ismail A.S, anak yang ditunggu-tunggu sekian lama. Anak yang menjadi harapan, kecintaan dan ditumpahkan segala kasih sayang yang tidak berbelah bagi tetapi akhirnya diperintah oleh Allah S.W.T untuk disembelih.

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, lbrahim berkata : “Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu” (Ash-Shaffat: 102)

Walau pun berat dan bergoncang seluruh hatinya dengan arahan ini tetapi Nabi Ibrahim menerima perintah Allah dengan penuh ketaatan dan perhambaan. Anak yang amat disayanginya akan dikorbankan demi mendahulukan perintah Allah S.W.T. Dan anaknya Ismail A.S, menerima ketentuan ini dengan penuh redha dan sabar, “wahai ayahku, buatlah seperti mana yang diperintahkan dan aku akan menjadi hambaNya yang sabar”. Kisah yang penuh syahdu ini memberikan kita suri tauladan yang amat signifikan tatkala perintah dan arahan Allah S.W.T dating, bila, siapa, di mana dan apa pun harus dikorbankan. Perintah Allah mengatasi dan mendepani segala-galanya. Inilah makna ketaatan dan perhambaan yang sebenar.

Ikhwah dan akhawat yang di rahmati Allah

Apakah kita semua bersedia dan redha untuk mengorbankan ‘Ismail’ yang kita ada? Bersedia untuk mengorbankan setiap sesuatu yang melemahkan iman dan yang menghalang ketaatan kita terhadap arahan Allah S.W.T. Juga adakah kita bersedia menyembelih setiap kenikmatan yang membuat kita terlena dibuai mimpi indah dan segala sesuatu yang menyebabkan kita mengajukan alasan-alasan untuk menghindari segala tanggungjawab dan perintah Allah S.W.T. Marilah kita sama-sama renungi dan hayati nilai pengorbanan yang agung dan semoga Allah mengganjarinya dengan keredhaanNya dan mengurniakan Rahmat ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan kita.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah : 24)

Mohd Zuraidi Zakaria,
Yang Di-Pertua, ISMA cawangan Gombak

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *