Kecanduan porno merosakkan otak

, , ,

Oleh Syarifah Hawa binti A Latip

GOMBAK, 11 Jun – “Kecanduan menonton filem porno akan mengakibatkan kerosakan otak yang teruk seperti mana otak orang yang mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan kesan kebanjiran hormon Dopamin,” kata Dr Anayasmin Azmi, pada Seminar Fiqh Wanita bertajuk “Pornografi Alam Siber, Kesan Terhadap Wanita dan Institusi Keluarga” yang berlangsung Jumaat lalu.

Ketika mengulas keseriusan masalah ini, pemegang sarjana dalam bidang pendidikan kanak-kanak dengan pengkhususan Pendidikan Seksual Kanak-kanak itu berkata, “Kita dikejutkan dengan berita mengenai kanak-kanak seawal 4 tahun telah meniru perlakuan seksual yang dikira agak keterlaluan.

“Ini kesan daripada perlakuan ‘modelling’ atau meniru apa yang dilihat oleh kanak-kanak itu yang berkemungkinan terdedah kepada pornografi atau melihat sendiri situasi itu.”

“Menurut kajian di Malaysia, secara purata 85% tertuduh perogol adalah mereka yang dikenali oleh mangsa. Maka tidak mustahil, ia dimulai dengan rangsangan pornografi terancang,” tambah beliau yang turut giat sebagai penceramah bebas dan kolumnis artikel perkembangan awal kanak-kanak itu

Mengenai punca permasalahan yang semakin membarah ini pula, Ustazah Nur Fatin Halil, pembantu pensyarah di Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, “Punca pornografi adalah berkaitan masalah iman. Jalan untuk merawatnya adalah dengan mengukuhkan iman dan muraqabatullah, iaitu merasakan Allah dekat dengan kita.”

“Ramadan merupakan masa terbaik untuk melakukan perubahan.

“Banyakkan bertaubat, mengawal hawa nafsu, dirikan solat, berpuasa, tundukkan pandangan dan ingat akan kematian,” cadang Ustazah Nur Fatin yang juga penyampai Usrah Wanita di sekitar Hulu Langat.

Apabila ditanya mengenai jalan untuk mengubah tabiat buruk ini, Dr Anayasmin menjawab, “Sesuatu perlakuan berpotensi tinggi untuk menjadi tabiat apabila diamalkan berterusan selama 40 hari dan untuk mengubah sesuatu tabiat buruk juga memerlukan kadar masa yang hampir sama.
“Namun wawancara yang dilakukan di negara Barat menyatakan bekas penagih pornografi mengambil masa sekurang-kurangnya 90 hari untuk membuang tabiat itu secara berterusan.”

Seminar Fiqh Wanita anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak kali ini telah bertempat di Giat MARA Gombak dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik).

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *