ISMA perkasakan institusi keluarga

Headline, Wanita & Keluarga — By on 16 October 2015 4:29 pm

DSC01055

Oleh: Fairuz Izyan Kamaruddin

GOMBAK, 11 Oktober — Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menganjurkan Seminar Ke Gerbang Perkahwinan (SKGP) khusus kepada pasangan yang telah melangsungkan perkahwinan kurang daripada setahun.

Seminar yang dihadiri seramai 70 ahli-ahli ISMA seluruh negara ini diadakan bertujuan untuk membimbing para peserta dalam membina rumahtangga Muslim yang menjadi nadi penggerak bagi merealisasikan visi dan misi ISMA.

Seminar yang berlangsung selama dua hari tersebut diisi dengan pelbagai perkongsian dan diselangi dengan aktiviti-aktiviti interaktif oleh penceramah – penceramah yang berpengalaman dalam rumahtangga dakwah.

Slot pertama yang bertajuk, “Aku Terima Nikahnya” yang disampaikan oleh Ustaz Agus Lukman memberi perkongsian dan peringatan kepada peserta tentang tujuan pembinaan Baitul Muslim (Keluarga Muslim), fiqh dalam pernikahan serta konsep pemberian nafqah.

Slot “Sayang Menyayangi” yang menggandingkan pasangan Haji Omar Kassim dan Hajah Akhma Deena pula memberi penekanan bahawa kerjasama dan usaha daripada kedua belah pihak untuk mengambil tahu tentang satu sama lain amat penting untuk memastikan pembinaan rumahtangga yang dilimpahi dengan rahmat dan kasih sayang.

Dr Farrah Nadia dalam perkongsiannya yang bertajuk, “Antara Cita-cita dan Realiti”, mengatakan bahawa, dalam pembinaan Baitul Muslim yang diidamkan, pasangan suami isteri semestinya akan menempuhi pelbagai konflik dan cabaran.

Namun demikian, konflik tersebut sedikit sebanyak boleh diatasi dengan cara mempelajari tentang karekteristik yang berbeza antara lelaki dan perempuan, bersikap terbuka, berusaha untuk memahami pasangan dan berubah demi kebaikan rumah tangga tersebut.

Peserta juga tidak ketinggalan untuk mendapat perkongsian pengalaman peribadi oleh Yang Dipertua ISMA Gombak, Encik Zuraidi Zakaria dan Puan Rasyidah Arshad dalam sesi Forum Rumahtangga Dakwah pada sebelah malamnya.

Hari kedua seminar dimulakan dengan perkongsian tentang kepentingan kepimpinan dalam keluarga, perancangan keluarga serta pengurusan kewangan dalam slot yang bertajuk, “Potret Keluarga Idamanku”.

Slot tersebut yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Md Nor Sazelim banyak memberikan tips-tips bermanfaat yang boleh diaplikasikan oleh peserta dalam pembinaan Baitul Muslim idaman.

Seminar diteruskan lagi dengan slot bertajuk, “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit” yang telah dikendalikan oleh pasangan Encik Nor Bakri Shafie dan isterinya, Puan Nadia Zulkifli.

Slot tersebut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang memerlukan kerjasama antara pasangan masing-masing dan mengetengahkan tentang kepentingan komunikasi dalam rumahtangga.

Pihak penganjur menyatakan harapan agar para peserta dapat beramal dengan pelbagai ilmu yang telah didapati sepanjang seminar untuk mencipta ‘syurga’ dalam rumahtangga dakwah yang dibina.

0 Comments

You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment