1000 pelajar sertai Karnival Kerjaya dan IPT Gombak

, , ,

Selayang, 18 Mac – Hampir 1000 orang pelajar daripada sekolah-sekolah sekitar Gombak telah menyertai Karnival Kerjaya dan IPT Gombak 2012 bertempat di Selayang Mall pada 10 Mac yang lalu.

Karnival yang julung-julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Gombak dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan PPD, Pn Patifah Zainun.

Dalam Ucapannya, Puan Latifah telah menyatakan pengiktirafan PPD terhadap peranan dan sumbangan besar KRIM Gombak dalam membantu bersama-sama mengembleng tenaga dan usaha ke arah menghasilkan generasi pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah yang lebih penting ke arah kelestarian pencapaian dari sudut kemahiran dan kepimpinan.

Ujar beliau lagi, ini adalah contoh kerjasama yang baik di antara PPD dan NGO.

Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Yang dipertua ISMA cawangan Gombak, saudara Zuraidi Zakaria dan Pengarah Kelab Remaja ISMA  Gombak, saudara Hafizan Abdul Wahab.

KRIM telah turut serta menyempurnakan dua sesi utama sepanjang karnival iaitu semasa sesi Perkongsian Kerjaya & Forum Dunia Kampus.

Fokus utama semasa sesi Forum Dunia Kampus ialah untuk memberi gambaran awal kepada golongan pelajar akan realiti dan cabaran kehidupan sebagai mahasiswa.

Para panelis menegaskan bahawa golongan pelajar sekolah yang merupakan bakal mahasiswa dan mahasiswi perlu diberi pendedahan awal tentang persediaan–persediaan yang perlu dilakukan khususnya dalam aspek perubahan budaya sekolah ke IPT, pergaulan sosial, cara berfikir dan bagaimana untuk cemerlang di IPT.

Antara kupasan menarik ialah kesedaran tentang punca utama kegagalan mahasiswa di IPT iaitu kegagalan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baru yang menjurus kepada kejutan budaya yang negatif.

Forum ini telah  dikemudikan oleh saudara Khairil Annuar sebagai moderator dan menampilkan 4 panelis berwibawa, saudara Hilmi Samad (wakil IPTS, BMI-UNIKL), Cik Sharifah Maimunah (wakil IPTA, IIUM), saudara Nur Farhan (wakil graduan luar Negara daripada University of Sydney) dan saudara Lufti Abbas (wakil industri, PETRONAS).

Dalam perbahasan penutup, saudara  Lufti menegaskan tentang keperluan untuk para pelajar mula berfikir secara serius mengenai nilai-nilai tambah yang perlu ada pada setiap bakal graduan, kerana realiti dunia pekerjaan pada hari ini tidak lagi melihat kepada pencapaian akademik semata-mata, malah yang lebih penting ialah apakah nilai-nilai tambah yang dimiliki yang membezakan antara seorang graduan dan yang lain.

Antara nilai tambah utama yang perlu dimiliki oleh semua orang ialah kemahiran ‘soft skills’ dan sifat Kepimpinan.

Sementara itu, cik Sharifah yang merupakan aktivis mahasiswa yang bergerak aktif dalam Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) IIUM menegaskan kepentingan para pelajar dan bakal graduan untuk bijak memilih persatuan di IPT.

PEMBINA merupakan contoh terbaik untuk para pelajar IPT memperkasakan potensi diri dan sebagai platform utama pembagunan jatidiri mahasiswa ke arah melahirkan graduan yang tinggi nilai kebolehpasarannya.

Puan Norshahida Baharudin, Jurutera Kanan PETRONAS telah menyempurnakan sesi perkongsian kerjaya yang nyata telah menarik perhatian bukan sahaja para peserta malah para pengunjung Selayang Mall yang hadir untuk membeli-belah.

Karnival kerjaya ini turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada IPTA dan IPTS dari seluruh negara termasuk Management and Science University, International Islamic College, MAHSA College, MARA, Universiti Teknologi Petronas dan sebagainya.

Semasa ucapan penutupnya, pengarah KRIM, saudara Hafizan menyatakan harapannya agar program ini dapat membantu para pelajar membuka minda melihat peluang-peluang yang terhidang untuk mereka meneruskan usaha untuk mencapai cita-cita.

Disediakan oleh:

Mohd Faizal b Uzairi

Wartawan Media ISMA

1 reply

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *